Biar Hajiji umum barisan hadapan kepimpinan GRS: Maximus

Iklan
Maximus ketika berucap sempena majlis makan malam sambutan ulang tahun PBS ke-37 di Dewan Hakka Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Proses pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang dilakukan dan senarai barisan hadapan kepimpinan akan diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas gabungan itu berjaya didaftarkan.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memaklumkan, perkara itu dibincangkan secara dalaman antara parti komponen dalam GRS

Iklan
Iklan

"Saya fikir Datuk Seri Hajiji akan umumkan setelah ia didaftarkan, saya dengar ia sudah dihantar (untuk pendaftaran).

"Perkara itu sudah dibincangkan secara dalaman antara kami dan biarlah beliau umumkan barisan hadapan kepimpinan GRS," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-37 PBS di Dewan Hakka, Likas, di sini, pada malam Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha GRS didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PBS akan terus menyokong penuh GRS namun dalam masa sama mengambil pendirian supaya tidak tergesa-gesa untuk menerima parti baharu dalam gabungan itu.

Iklan

"Kunci utamanya adalah perkukuhkan barisan hadapan dan rakan kongsi sedia ada. Jangan buang masa untuk mendapatkan rakan baharu yang tidak diketahui," katanya.

Sebelum ini, Datuk Peter Anthony menerusi parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang baru ditubuhkannya berhasrat untuk menyertai GRS selepas ia didaftarkan.

Sementara itu, bercakap mengenai perjuangan PBS untuk melaksanakan undang-undang akta anti lompat parti, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Sarawak) berharap ia dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

Katanya, akan ada taklimat daripada Menteri Undang-Undang berkaitan perkara itu pada Selasa depan dan sudah tentu semua ahli Parlimen termasuk pembangkang akan diberi taklimat mengenainya.

"Selepas 37 tahun usia PBS kami bersyukur akhirnya mereka bersetuju untuk membentangkan akta anti lompat dan melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

"Ia akan dibentang dalam sidang Parlimen kali ini dan kita ada sehingga 25 Mac ini sehingga hari terakhir bersidang jadi terserah kepada Menteri Undang-Undang untuk menyusunnya dan diharap ia dapat dibentangkan sebelum hari terakhir Parlimen bersidang," katanya.