Guna simpanan ibu RM40,795 beli mata wang permainan dalam talian

Iklan
Seorang pelajar sebuah institisi pengajian tinggi tergamak menggunakan wang simpanan ibunya RM40,795 untuk membuat pembayaran. (Gambar kecil: Mohd Wazir)

KUANTAN - Terpedaya dengan tawaran murah pembelian mata wang permainan dalam talian, seorang pelajar sebuah institisi pengajian tinggi (IPT) tergamak menggunakan wang simpanan ibunya RM40,795 untuk membuat pembayaran.

Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan wang simpanan ibunya itu lesap apabila mangsa yang berusia 22 tahun ditipu, malah dia sendiri menggunakan wang simpanannya RM1,705 untuk membuat bayaran menjadikan kerugian dialami berjumlah RM42,000.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dipercayai mempunyai akses untuk menggunakan perbankan internet ibunya yang juga seorang pesara.

Menurutnya, semua wang tersebut lesap selepas mangsa telah ditipu dalam urusan pembelian mata wang permainan itu yang mana harga asal yang perlu dibayar hanya RM600.

Iklan

"Nasib malang mangsa bermula selepas dia melihat iklan penjualan mata wang permainan dalam talian itu yang diiklankan melalui aplikasi Instagram, Jumaat lalu.

"Mangsa tertarik untuk membelinya kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga di platform pembelian dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mohd Wazir berkata, tanpa menyedari iklan itu umpan penipu, mangsa bersetuju untuk membeli 38,400 mata wang permainan itu dengan harga RM600.

"Mangsa membuat bayaran pada hari yang sama secara dalam talian melalui sebuah akaun bank yang diberikan.

"Setelah bayaran itu dibuat, mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk kos penukaran mata wang tersebut,"katanya.

Mohd Wazir berkata, dalam urusan itu, suspek telah memperdaya mangsa dengan pelbagai helah hingga mendorongnya membuat 10 transaksi pembayaran melalui tiga akaun bank berasingan dengan jumlah keseluruhan RM42,000.

"Selepas semua bayaran dibuat, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu kerana jumlah yang dibayar berpuluh kali ganda daripada harga asal.

"Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading di sini pada Sabtu untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.