SHAH ALAM - Majlis tarian ala bogel seharusnya tidak menjadi hidangan kepada pimpinan politik Muslim walaupun penganjurnya bukan Muslim, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Katanya, majlis tersebut juga dilihat telah bercanggah dengan nilai ketimuran dan nilai masyarakat Malaysia.
"Di saat rakyat berhadapan dengan musibah dan diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada ALLAH agar dilepaskan daripada musibah Covid-19, apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, pada Ahad.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi Perikatan Nasional (PN) sewaktu Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru.
Mereka itu termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Sehubungan itu, Mohd Khairuddin meminta agar pihak terlibat segera tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat kerana ia juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik di saat kempen pilihan raya sedang hangat berlangsung.
"Pahit tetapi teguran perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip PN yang jelas berkaitan Islam,” katanya.