KUALA LUMPUR - Seorang penunggang basikal cedera selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang membelok simpang di Jalan Nusa Bukit Tunku, di sini pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 10.11 pagi itu berlaku ketika penunggang basikal berusia 17 tahun itu sedang menuruni jalan bukit dengan laju.
"Remaja lelaki terbabit kemudian melanggar Toyota Alphard yang membelok ke simpang kanan.
"Akibat kemalangan tersebut penunggang basikal itu mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kedua-dua pihak yang terlibat telah hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Rule 3(2)(b) LN 166/59 kerana tiada memberi laluan kepada kenderaan yang berjalan terus sebelum melintas laluan kenderaan itu.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang
berhampiran.
"JSPT Kuala Lumpur juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.
Pada Sabtu, tular di media sosial mengenai rakaman video berdurasi sembilan saat yang menunjukkan kemalangan terbabit.