JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pihak polis akan menyiasat berhubung isu video yang tular mengenai anjuran konsert dimana para pengunjung dilihat menari beramai-ramai sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pada Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sekiranya betul mengenai anjuran tersebut, maka tindakan akan diambil terhadap penganjur yang mana telah melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana berkumpul.
"Kalau betul, kita akan mengambil tindakan terhadap penganjur.
"Sama ada mereka (penganjur) ada permit atau tidak ada permit tetapi kalau melanggar SOP Akta 342, memang kita akan mencari.
"Kita akan mengeluarkan kompaun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.
Pada Sabtu, sebuah video tular menunjukkan sekumpulan pengunjung dalam sebuah program yang dipercayai Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, Johor yang menari beramai-ramai dengan mengabaikan SOP serta penjarakan sosial.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu
Ia bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.
Program RIUH EK! Keluarga Malaysia itu dijangka diteruskan membabitkan 14 siri jelajah di seluruh negara.