JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan sambutan diterima parti itu sejak berkempen seminggu lalu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar dan tidak ada sebarang masalah.
"Semuanya ok, semuanya baik, sambutan sangat baik," katanya mengulas sambutan orang ramai terhadap kempen dilakukan PKR sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum itu mengiringi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, S Gopalakrishnan dalam program Santuni dan Sarapan Pagi Bersama Masyarakat Sungai Tiram di Tiram di sini pada Ahad.
Sementara itu, Gopalakrishnan yang juga Naib Pengerusi PKR Johor berkata, isu perbalahannya dengan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini tidak memberi kesan dalam kempen-kempen beliau.
Jelasnya, tuduhan Syed Saddiq bahawa beliau tidak mengambil berat kebajikan masyarakat India sebelum ini, langsung tidak dibangkitkan pengundi sebaliknya menerima sambutan yang baik.
"Isu ini langsung tak jejaskan usaha saya semasa berkempen, pengundi tak tanya pun. Sebabnya perkara benar sudah timbul dan perkara yang salah sudah tenggelam," ujar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram itu.
Sekiranya dipilih bagi penggal kedua jika menang di kerusi DUN tersebut, beliau berhasrat mewujudkan satu pusat rekreasi khas untuk anak muda di Tiram kerana ketika ini tiada tempat sedemikian untuk mereka.
Selain itu katanya, mahu mewujudkan hab perniagaan untuk anak muda yang akan memberikan latihan dan pembiayaan kepada golongan tersebut.
"Rancangan ini sudah lama saya bincangkan dengan kerajaan sebelum ini. Saya juga berhasrat menyelesaikan masalah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan masalah dua tokong Cina di Taman Desa Jaya.
"Begitu juga akan mencari penyelesaian masalah tanah perkuburan masyarakat India di Tiram kerana pada ketika ini mereka terpaksa pergi ke Johor Bahru dan Kota Tinggi untuk urusan pengkebumian termasuk urusan krematorium," katanya.
Gopalakrishnan juga berhasrat menstrukturkan semula pekan Tiram yang ketika ini dilihat sempit, tidak tersusun dan memerlukan kawasan baharu yang lebih luas bagi membolehkan pembangunan seterusnya dapat dilakukan.
Beliau memberitahu, terdapat 25,000 pengundi muda daripada keseluruhan 105,000 pengundi di DUN Tiram dan PKR yakin dapat memenangi hati mereka walaupun DUN Tiram berdepan pertembungan tujuh penjuru pada PRN Johor.