Migran asing cuba masuk secara haram guna bot nelayan

Iklan
Inilah bot nelayan tempatan yang dipercayai digunakan untuk membawa masuk migran asing secara haram yang berjaya dikesan di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam pada Ahad.

SABAK BERNAM - Hasrat migran asing masuk ke Malaysia secara tidak sah dengan 'berselindung' menggunakan bot nelayan dibongkar dalam serbuan Op Pintas di 1.7 batu nautika dari persisiran Pantai Sungai Besar di sini pada awal pagi, Ahad.

Kegiatan itu ditumpaskan sepasukan Bahagian D3 Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang pada jam 1 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi hasil risikan dan maklumat itu berjaya mengesan sebuah bot nelayan kelas B di lokasi terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seorang tekong dan tiga pembantu tekong warga Indonesia telah ditahan.

Iklan

"Seramai 60 migran Indonesia termasuk 11 wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah turut ditahan di bot terbabit untuk tindakan lanjut.

"Bot nelayan terbabit dipercayai milik warga tempatan kemudian telah dirampas berserta dengan satu buku lesen vesel," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Antara 60 migran asing yang ditahan polis dalam Op Pintas di 1.7 batu nautika dari persisiran Pantai Sungai Besar, Sabak Bernam pada awal pagi Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, soal siasat polis mendapati migran Indonesia itu membayar lima hingga enam juta Rupiah (RM1,500 hingga RM1,800) kepada ejen di Indonesia.

Kata Fadil, pihaknya percaya tekong dan pembantunya itu telah aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak dua hingga empat bulan lalu.

"Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan pemilik bot warga tempatan yang bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan migran itu.

"Kesemua tangkapan berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria mengingatkan kepada pemilik bot nelayan agar memantau setiap pergerakan dan aktiviti tekong yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang pihak berkuasa.