PRN Johor: Muda akur arahan kosongkan premis PIJ Holdings

Iklan
Amira Aisya menyantuni penduduk setempat ketika mengadakan tinjauan mesra di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akur dengan arahan pengosongan premis dikeluarkan PIJ Holdings Sdn Bhd, berhubung dakwaan pencerobohan dan penggunaan aset Inkubator Usahawan tanpa kebenaran, yang digunakan sebagai pusat operasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, langkah itu bagi membolehkan parti itu terus memfokuskan kepada kempen menyantuni dan mendekati masyarakat termasuk pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Iklan
Iklan

"Apabila diarahkan untuk keluar, kita tidak mahu menyukarkan dan menyulitkan tugas mana-mana pihak. Semalam, saya sendiri sudah berpesan kepada rakan-rakan di DUN Larkin supaya cepat-cepat mencari bilik gerakan baharu. Jadi sekarang ini mereka dalam proses berpindah ke kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Iklan

Bagaimanapun, Amira Aisya yang juga calon Muda bagi kerusi DUN Puteri Wangsa berkata, pihaknya akan membuat tuntutan semula wang deposit yang telah dibayar selepas selesai PRN Johor.

"Kita akan tuntut balik ganti rugi terutama sekali sewa dan deposit yang kita sudah bayar bagi tempoh dua bulan, kita nak lah kembali deposit dan sewa itu, dan tuntutan akan dibuat selepas pilihan raya ini,” katanya.

Pada Jumaat lepas, PIJ Holdings menerusi syarikat subsidiarinya PIJ Property Development Sdn Bhd, dilaporkan telah membuat laporan polis terhadap Muda berhubung pencerobohan dan penggunaan aset Inkubator Usahawan berkenaan, yang terletak di Taman Perbadanan Islam, Stulang Baru, tanpa kebenaran sekali gus meminta parti itu segera mengosongkan dan mengembalikan premis tersebut.

Iklan

PIJ Holdings yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Johor memaklumkan bahawa, premis tersebut dibangunkan bagi usahawan memulakan perniagaan mereka dan bukan bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat operasi bagi mana-mana parti politik.

Sementara itu, Amira Aisya memaklumkan pihaknya telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Bandar Dato' Onn, berhubung tindakan berunsur khianat yang dibuat terhadap bahan kempennya di DUN Puteri Wangsa pada Isnin dan Sabtu.

DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Amira Aisya dengan Adzrin Adam (Bebas), Ng Yew Aik (Barisan Nasional), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional) dan Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia).

Pada PRN Johor ini, Muda buat pertama kali bertanding pada pilihan raya melibatkan tujuh kerusi DUN iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Larkin dan Bukit Permai. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my