JOHOR BAHRU - Pihak polis tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang program perdebatan secara semuka sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya suasana tegang dan mencetuskan huru-hara di negeri tersebut.
"Segala aktiviti debat secara berdepan, kita tidak benarkan. Keadaan sekarang ini dah pulih, tenang dan sebagainya, masing-masing boleh berkempen.
"Jadi kita tak nak ada perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis, semua tidak boleh berkempen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.
Pada Ahad, sesi debat melibatkan antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dibatalkan selepas dimaklumkan penganjurannya tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.
Difahamkan, program tersebut dijadualkan berlangsung pada Ahad di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru bagi membincangkan isu-isu berhubung Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, pihaknya setakat ini membenarkan anjuran program yang berbentuk ceramah sahaja.
"Kita benarkan ceramah sahaja dan permit ceramah memang kita luluskan.
"Kita bantu kecuali ada beberapa yang kita tidak luluskan kerana demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di Johor,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my