TAKTIK melengah-lengahkan permainan yang diguna pakai Penang FC ketika tumbang 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim pada perlawanan pembukaan Liga Super kelmarin nyata tidak disenangi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
TMJ yang juga merupakan pemilik JDT berkata, beliau tidak ada masalah sekiranya skuad Harimau Kumbang itu menggunakan kaedah ‘parking the bas’.
Bagaimanapun katanya, taktik melambat-lambatkan permainan hanya merugikan penonton kerana mereka disajikan dengan ‘drama’ penjaga gol yang terbaring menahan kesakitan selepas menyelamatkan percubaan lawan.
"Parking bas ok. Tetapi ‘time wasting‘ teruk. Bayangkan statistik menunjukkan kami hanya bermain selama 46 minit sahaja. Yang lain setiap 10 atau tujuh minit jatuh.
"Kita sahaja negara di mana setiap kali penjaga gol menyelamatkan bola, dia akan mengalami kecederaan dan terbaring selama tiga minit. Sampai bila nak macam ni?” katanya dalam media sosial.
Dalam hantaran yang masa, TMJ turut mendedahkan, taktikal bertahan itu sebenarnya diarahkan sendiri oleh Jetua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha dan ia diakui pemain pasukan tersebut.
"Apabila jurulatih kami bertanya kepada pemain import Penang, mereka cakap itu semua arahan jurulatih (Trucha).
"Mulai dari minit kelima hingga habis perlawanan. Kesian penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak,” ujar Tunku Ismail.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, taktikal bertahan oleh pemain skuad Harimau Kumbang membuahkan hasil apabila pasukan Harimau Selatan dipaksa bekerja keras sepanjang aksi.
Namun tuah nyata memihak tuan rumah apabila berjaya melakar kemenangan hasil jaringan tunggal Bergson da Silva pada minit ke-70 untuk menghadiahkan juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu meraih tiga mata.