PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan pihaknya akan membawa isu Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) - PSM ke Mahkamah Timbang Tara (CAS) bagi mendapat penyelesaian yang sewajarnya.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perbincangan dengan peguam akan dilakukan pada Isnin bagi menentukan tindakan seterusnya.
Menurutnya, PSM akan mencabar kesahihan keputusan ASTAF pada bulan Mei 2021 yang menyingkirkan mereka daripada gabungan induk tersebut.
"PSM akan membuat permohonan semakan semula keputusan ASTAF yang telah menerima satu badan baharu iaitu Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan tanpa memperoleh dan memenuhi syarat-syarat yang termaktub dalam Perlembagaan ASTAF.
"Keputusan membentuk sebuah badan induk sukan yang baharu boleh dipertikaikan apabila ia hanya disertai enam persatuan negeri manakala PSM sebagai badan induk asal mempunyai 10 persatuan negeri serta empat ahli gabungan yang jelas menunjukkan jumlah majoriti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi PSM di sini pada Ahad.
Sementara itu, Mohd Sumali turut mengumumkan penyingkiran Persatuan Sepak Takraw Kedah yang kini berada di dalam MSC.
ASTAF sebelum ini menolak permohonan PSM untuk diterima semula sebagai gabungan badan induk Asia itu.
Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat menerusi kenyataan berkata, keputusan menyingkirkan PSM pada 20 Mei tahun lalu kekal muktamad berdasarkan keputusan terbaharu pada Jumaat lalu.
Surat makluman telah dihantar kepada Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh pada Jumaat, menjawab surat permohonan yang dihantar pada 23 Februari lalu.
Pada Sabtu, ASTAF mengesahkan MSC disahkan sebagai ahli baharu persekutuan itu.
Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan PSM pada Mei 2021 berikutan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.
Ahmad kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lalu, diikuti beberapa usaha oleh persatuan itu bertujuan mendapatkan semula keahliannya dalam ASTAF, namun badan induk itu baru-baru ini mengesahkan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.
Berikutan itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) membenarkan MSC untuk mendapatkan kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa.