Luluh hati lihat 20 bangkai kucing bergelimpangan

Iklan
Antara bangkai kucing jalanan yang ditemukan mati kawasan Pantai Bukit Keluang, di Besut pada Ahad.

BESUT - Kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kecewa dan sedih apabila menemukan 20 bangkai kucing jalanan yang sering diberi makan bergelimpangan di kawasan Pantai Bukit Keluang, di sini, pada Ahad.

Badrul Hafeezy Ali, 35 berkata, bangkai haiwan itu ditemukan bersama rakannya Roshanapi Osman, 39, yang kebetulan melalui kawasan itu sekitar jam 9.30 pagi

Iklan
Iklan

"Saya sering memberi kucing di sini makan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Saya sudah biasa dengan kucing di situ dan ia juga mengenali saya.

"Tak sangka pula, apabila lalu di sini hari ini saya melihat haiwan itu mati. Rasa sedih dan sayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Badrul Hafeezy yang bekerja di UniSZA Kampus Besut berkata, pada mulanya dia keliru dan memutuskan untuk terus menanam bangkai kucing itu dan berkongsi di media sosial.

Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu mengambil bangkai kucing di kawasan Pantai Bukit Keluang, di Besut untuk siasatan lanjut.

"Ada maklum balas saya terima menyarankan supaya melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Mereka datang ke sini untuk mengambil bangkai kucing sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Iklan

"Saya juga telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja jam 3.30 petang tadi," katanya.

Dalam pada itu, Badrul Hafeezy mengesyaki kucing jalanan itu mati diracun.

"Ramai yang buang kucing di sini. Saya sendiri banyak kali terserempak dengan mereka yang datang memberi kucing-kucing ini makan.

"Setakat ini, belum pernah lagi kejadian begini. Kucing-kucing ini tidak akan mati serentak jika ia sakit," katanya yang memiliki enam ekor kucing peliharaan.