Kecoh video rakyat berjoget, ahli politik disajikan tarian seksi

Iklan
Polis sedang menyiasat video tular yang merakam aksi orang ramai berjoget tanpa penjarakan sosial di dua lokasi berasingan di Johor dan Perak.

POLIS ketika ini sedang menyiasat video tular yang merakam aksi orang ramai berjoget tanpa penjarakan sosial di dua lokasi berasingan di Johor dan Perak.

Video di Johor membabitkan program anjuran sebuah kementerian di Ayer Hitam yang menunjukkan pengunjung mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) itu.

Iklan
Iklan

Di Perak pula, polis mengesahkan konsert yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Dalam dua video berkenaan, jelas kelihatan gelagat pengunjung yang gagal mematuhi SOP malah ada yang tidak memakai pelitup muka.

Iklan

Merak Jalanan berpandangan acara berjoget beramai-ramai sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kita belum bebas daripada penularan Covid-19 malah saban hari semakin ramai disahkan positif dengan angka kematian menakutkan.

Jangan anggap diri kita kebal selepas lengkap suntikan dua dos vaksin dan penggalak. Lihatlah orang di sekeliling kita kerana masih ramai golongan berisiko terutama warga emas. Kita semua boleh menjadi pembawa virus yang mampu meragut nyawa mereka.

Iklan

Kita semua perlu kawal diri dan bukan masanya untuk berjoget beramai-ramai apatah lagi tanpa batasan pergaulan lelaki dan perempuan.

Dalam pada sama, ada satu lagi video tular yang menjadi perhatian rakyat selepas majlis dihadiri pemimpin politik terkenal telah disajikan dengan acara tarian seksi.

Merak Jalanan perhati, sejak dahulu lagi acara hiburan tari-menari sering kali diselitkan dalam mana-mana program politik. Jika tarian kebudayaan Malaysia, tidak mengapa kerana ia seni warisan untuk generasi masa hadapan.

Tetapi tarian joget berpakaian seksi dan meniru budaya Barat, itu tidak sepatutnya dipertontonkan dalam program politik. Jangan kita menormalisasikan budaya ini.