KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, tidak menolak kemungkinan saingan Piala FA musim ini dibatalkan seandainya masalah jangkitan Covid-19 dalam kalangan pasukan yang bertanding kian meruncing.
Jelasnya, ia satu keputusan yang terpaksa diambil atas persetujuan ahli lembaga pengarah MFL seandainya situasi lebih buruk berlaku selepas ini.
Iklan
Iklan
Perlawanan Liga Super membabitkan Sri Pahang FC dan Terengganu FC yang sepatutnya berlangsung di Kuantan pada Sabtu terpaksa dibatalkan berikutan 20 pemain dan pegawai pasukan tuan rumah berkenaan diuji positif koronavirus.
Turut dibatalkan adalah empat perlawanan Liga Perdana membabitkan Terengganu II-UiTM, Selangor II-Skuad Projek MSN, PDRM-Kuching City dan Perak FC-Kelantan United.
Ia menimbulkan persoalan mengenai kelancaran saingan Piala FA yang akan bermula Jumaat depan dan bagi menjawab persoalan itu, Stuart berkata kepada wartawan Astro Arena:"Jika minggu pertama ini menjadi (gambaran) rentak kepada musim 2022, MFL sememangnya ada percaturan pelan B dan pelan C juga demi memastikan ada lebih banyak tarikh penimbal (buffer date).
"Antara langkah awal yang boleh diambil adalah, jika kami terpaksa membatalkan mana-mana pertandingan, maka saingan Piala FA akan digadaikan demi kelangsungan saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan pasukan kebangsaan.
"Keputusan itu perlu ditentukan ahli lembaga pengarah dan itulah yang boleh kami lakukan seandainya rentak pada minggu pertama ini berlarutan sehingga minggu ketiga atau keempat," katanya. - Awani