KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM49 juta untuk pembangunan loji mini di lapan lokasi bagi membantu menyediakan air bersih kepada pengguna di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Sr Azami Mohd Nor berkata, selain itu, ia juga akan digunakan untuk membaik pulih sistem proses rawatan air di Loji Rawatan Ketereh dan Loji Rawatan Air Perol.
"Lapan lokasi loji mini tersebut adalah di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Wakaf Bharu, Kadok, Meranti, Kedai Buloh dan Telong.
"Selain itu, projek semasa di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar Air (KASA) adalah pembinaan Loji Rawatan Air Kampung Telok yang menelan belanja RM48.3 juta.
"Loji tersebut dijangka mengeluarkan air terawat sebanyak 30 juta liter sehari dan dijadualkan beroperasi hujung tahun ini,"katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Beliau hadir pada Majlis Apresiasi Media bersama Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di Hotel Perdana dan turut merasmikan logo baharu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta aplikasi mudah alih MyAksb.
Mengulas lanjut, Azami memberitahu, KASA juga membiayai Program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) yang melibatkan penukaran meter, pembaikan tangki dan pembangunan 'Geografical Information System' (GIS).
Katanya, kerajaan negeri juga sedang berusaha mendapatkan geran daripada KASA untuk membangunkan Takungan Air Pinggiran Sungai atau TAPS di Labok, Machang.
"Kapasiti TAPS ini adalah melibatkan 500 juta liter sehari dan ia adalah sumber air mentah untuk loji-loji di kawasan utara lembangan sungai Kelantan,"katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Azami memberitahu, AKSB juga membangunkan satu aplikasi mudah alih itu MyAksb dimana pengguna boleh menyemak bil, bayaran, membuat aduan serta memaklumkan mengenai gangguan air.
Katanya, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi berkenaan melalui telefon mudah alih masing-masing dan pihak AKSB juga memberi jaminan akan memberi jawapan segera dalam tempoh 24 jam berdasarkan maklumat yang diperoleh.