SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyatakan desakan kuat agar kerajaan campur tangan dalam jualan lambak aset-aset Tabung Haji (TH) sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah iaitu di bawah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujhadi Yusof adalah tepat.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya 76.2 peratus keluasan ladang sawit milik TH yang berjumlah 101,000 hektar yang diputuskan kerajaan PH berjaya dijual, sudah tentu TH Plantation Bhd (THP) tidak mengaut keuntungan sebelum cukai yang naik ke RM138 juta tahun lepas berbanding kerugian yang dialami pada tahun 2019 dan 2018.
"Tabung Haji ketika pentadbiran kerajaan PH yang dalam gabungan itu ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disuruh menjual 76.2 peratus daripada keluasan ladang sawit mereka sebab pada masa itu dikatakan membebankan ekoran harga sawit rendah.
"Selepas menjadi kerajaan PN (Perikatan Nasional), menteri Bersatu masih meluluskan penjualan TH Plantations. Kami yang dedahkan penjualan ini. Kami yang kuat membantah, kami yang berjuang bagi semua umat Islam yang mencarum dalam TH. Ini duit pakcik, makcik, abah, ibu kita. Akhirnya kami berjaya hentikan penjualan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Februari lalu, THP melaporkan peningkatan keuntungan bersih hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM101.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM27.5 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatannya meningkat 37.1 peratus kepada RM760.8 juta berbanding RM 555.1 juta sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan.
THP juga menunjukkan peningkatan dari segi operasi, yang mana ia mencatat keuntungan kasar sebanyak RM252.8 juta, lebih tinggi berbanding RM177.2 juta tahun lalu.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, harga sawit pada ketika ini telah mencecah RM7,000 satu tan dan jika penjualan ladang berkenaan berjaya, ia satu kerugian.
"Bayangkan kerugian ini yang begitu besar sekali sekiranya ladang-ladang itu berjaya dijual ketika ini apabila harga sawit telah cecah RM7,000 satu tan,” katanya.