SHAH ALAM - Sidang Dun Selangor sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.
Usul tersebut dikemukakan oleh Saari Sungib (Hulu Kelang-PKR) dan dibahaskan selama 50 minit oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.
Antara ADUN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan-PKR), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang-Pas), Lim Yi Wei (Kampung Tunku-DAP), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru-Amanah) dan Law Weng San (Banting-DAP).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim dan di luar pemikiran manusia.
Beliau berkata, semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.
"Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata kerajaan negeri digesa untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di negeri ini sebagai platform bagi menyebarkan mesej keamanan dan menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain