PUCHONG - Lima sekeluarga berteduh berbumbungkan kanvas bersebelahan sebuah kontena usang sejak dua minggu lalu selepas dihalau dari rumah sewa.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi kemas kini di Facebook berkata, kisah keluarga tersebut yang tinggal di kawasan semak dimaklumkan ketua kampung Kampung Tengah sebelum pegawai LZS turun menghulurkan bantuan
Menurutnya, keluarga tersebut hidup susah selepas ketua keluarga dibuang kerja sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
"Ketika kami cuba dekati keluarga ini, jelas kedengaran anak-anak kecil ini menangis sebab keadaan sekitar tidak selesa dan kerap mengadu gatal digigit nyamuk.
"Tanpa menunggu lama kami terus carikan rumah untuk mereka bermalam dan alhamdulillah ada sebuah rumah yang kosong boleh disewakan. Kami ada bekalkan juga alat keperluan asas dan kelengkapan untuk tidur pada keluarga ini," menurut perkongsian di Facebook LZS pada Ahad.
Katanya, LZS akan menanggung kos sewaan rumah tersebut dan keperluan lain akan disalurkan setelah beberapa dokumen lain diperoleh.
"Buat sementara ini, kami hanya harapkan mereka sekeluarga dapat tidur dengan nyaman tanpa ada sebarang nyamuk yang gigit anak-anak kecil ini. Insya-ALLAH
"Terima kasih kami ucapkan buat penduduk Kampung Tengah kerana kerjasama kalian memberi maklumat terus pada LZS," katanya.