810 pelajar B40, mangsa banjir terima bantuan beli keperluan sekolah

Iklan
Karim (kanan) menyerahkan baucar kepada salah seorang penerima pada Program Ziarah Prihatin: Kembali Ke Sekolah 2022 di sebuah pasar raya di Kuantan pada Ahad.

KUANTAN - Pertubuhan Ikram Negeri Pahang membantu 810 pelajar dari keluarga B40 yang memerlukan melalui Program Ziarah Prihatin: Kembali Ke Sekolah tahun ini.

Melalui program itu tahun ini, sebanyak 810 baucar bernilai RM150 disediakan untuk diagihkan kepada penerima bagi pembelian keperluan persekolahan masing-masing.

Iklan
Iklan

Timbalan Yang Dipertuanya, Karim Awang Kechik berkata, program itu diadakan melalui dua sesi yang mana sesi pertama pada Sabtu dan Ahad lalu manakala sesi kedua pada 12 dan 13 Mac ini.

Menurutnya, penerima manfaat Program Ziarah Prihatin: Kembali Ke Sekolah tahun ini sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar keluarga B40 yang terkesan akibat banjir besar baru-baru ini.

Iklan

"Daripada keseluruhan senarai penerima tahun ini, 720 penerima terdiri daripada mangsa banjir manakala 90 penerima lagi bukan mangsa banjir.

"Para penerima dibawa ke dua pasar raya di sini untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka," katanya.

Iklan

Karim berkata, program tersebut dijayakan melalui tajaan Aspire Institute, Yayasan Hasanah, Yayasan Ikram Malaysia dan Hidayah Centre Foundation.

"Ia juga turut mendapat dengan kerjasama daripada beberapa pihak antaranya Ikram Muda Pahang, MNR Multitech Sdn Bhd dan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO).

"Ikram Pahang turut menggerakkan ahli dan sukarelawan bagi sama-sama membantu menjayakan program tersebut," katanya.

Tambah beliau, Ikram Malaysia yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.

"Kami komited dalam usaha membina sebuah negara berdasarkan prinsip keadilan, kebebasan, inklusif dan bermaruah," katanya.

Beliau berkata, Ikram mempunyai pelbagai institusi untuk bersama memberi khidmat dalam masyarakat dan membangun sebuah negara Rahmah antaranya Hidayah Centre Foundation (HCF), MyCare, Yayasan Ikram, Ikram Health dan Harmoni Malaysia.