MESKIPUN tewas 2-3 kepada Arsenal, pengendali Watford, Roy Hodgson memuji semangat yang ditunjukkan pasukannya yang tidak penat berjuang sehingga wisel penamat dibunyikan.
Menurut jurulatih berusia 74 tahun itu, pasukannya mampu mencatatkan keputusan positif pada perlawanan tersebut sekiranya pemain tidak melakukan kesilapan teknikal pada aksi tersebut.
Bagaimanapun, dia enggan menyalahkan pemainnya sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan The Hornets kepada The Gunners.
"Kekalahan ini datang daripada kesilapan teknikal yang agak jelas, namun kesilapan tersebut adalah sebahagian daripada permainan.
"Justeru saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di atas kesilapan teknikal itu. Sekiranya kami tidak melakukan kesilapan itu, saya percaya pasukan akan berjaya menghasilkan keputusan positif pada perlawanan ini.
Pada perlawanan tersebut, Watford berjaya membuka jaringan pada awal permainan, namun gol Emmanuel Dennis itu dibatalkan selepas dia didapati berada di kedudukan ofsaid.
Pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard kemudiannya meletakkan The Gunners di hadapan pada minit kelima sebelum Watford mengikat kedudukan menerusi jaringan akrobatik Cucho Hernandez hasil hantaran lintang Kiko Femenia pada minit ke-11.
Selang beberapa minit kemudian, pelawat kembali berada dihadapan menerusi Saka pada minit ke-30 sebelum bintang England terbabit dalam gerakan gol ketiga yang disudahkan Gabriel Martinelli pada awal babak kedua.
Tonggak tengah Watford, Moussa Sissoko berjaya merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan namun ia seolah sudah terlambat buat Watford untuk mengutip mata pada perlawanan itu.
Kekalahan itu menyaksikan Watford kekal berada di zon penyingkiran dengan mengutip 19 mata dalam 27 perlawanan.