Imigresen gempur dua premis tawar pelacur warga asing

Iklan
Antara pelacur warga asing dan penjaga premis yang ditahan imigresen dalam serbuan di Taman Pelangi, Johor Bahru pada Sabtu.

PUTRAJAYA - Kegiatan sindiket pelacur warga asing yang menawarkan khidmat seks antara RM250 sehingga RM350 bagi setiap sesi terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di dua premis di Taman Pelangi, Johor Bahru pada Sabtu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menahan 16 individu terdiri daripada 14 wanita warga Thailand, seorang wanita Laos dan seorang lelaki Myanmar berusia antara 18 hingga 25 tahun dalam serbuan pada jam 7.45 malam.

Iklan
Iklan

"Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis. Selain itu, seramai 12 lelaki yang disyaki pelanggan terdiri daripada empat warga asing dan lapan lelaki warga tempatan turut diperiksa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi yang digunakan adalah mempromosikan perkhidmatan pelacur warga asing melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Iklan

"Pelanggan akan mengakses link media sosial melalui carian di Google dengan kata kunci, melalui pautan ini pelanggan akan memilih wanita-wanita yang dipaparkan sebelum membuat tempahan," katanya.

Beliau berkata, pemilik premis yang terlibat dalam kegiatan pelacuran ini didapati berselindung di sebalik khidmat urutan dengan menyediakan khidmat tambahan pelacur asing kepada pelanggan.

Iklan

"Mereka beroperasi pada jam 11 pagi sehingga 11 malam setiap hari. Pelanggan akan membuat tempahan di kaunter dengan memilih pakej urutan badan dan diikuti dengan khidmat seks," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk tindakan lanjut manakala pelanggan yang diperiksa dalam operasi ini dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan," ujarnya.