KOTA TINGGI - Tawaran penetapan harga premium tanah pada kadar RM1 sekaki persegi dalam Ikrar Perikatan Nasional (PN) dilihat sangat relevan untuk membantu usaha merealisasikan projek pembinaan rumah generasi baharu Felda di negeri Johor.
Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, penetapan harga premium tanah yang tinggi sebelum ini dilihat menjadi antara punca banyak projek pembinaan rumah bagi generasi baharu Felda tidak dapat dilaksanakan.
Mazlan berkata, ini kerana kebolehlaksanaan projek pembinaan itu bergantung kepada tahap pendapatan kumpulan tersebut yang rata-ratanya masih berada dalam kategori kurang berkemampuan.
"Saya berpendapat tawaran PN boleh membantu kerana daripada kadar yang rendah akan membolehkan peserta yang dipilih itu mampu membayar. Jika kadar itu tinggi, peserta perlu membayar lebih daripada RM10,000 untuk lot yang mereka dapat.
"Jadi sejauh mana kemampuan orang-orang yang terpilih ini boleh membayar tidak dapat dipastikan, sebab ada dalam kalangan anak-anak peneroka yang biasanya pekerja ladang tidak mempunyai pendapatan yang tetap.
"Ada juga berlaku kes mereka sudah dapat lot, tetapi sampai ke peringkat akhir pun mereka tidak mampu membayar atau sesetengahnya terpaksa membayar secara ansuran.
"Saya kira tawaran penetapan harga premium tanah pada kadar RM1 sekaki persegi itu jika benar boleh dilaksanakan memang sangat membantu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Mazlan bagaimanapun berkata, usaha penyelesaian bagi pembinaan perumahan generasi baharu Felda itu bukan mudah untuk dilaksanakan kerana terdapat beberapa cabaran lain yang perlu diambil kira.
Menurutnya, selain melibatkan kelulusan daripada kerajaan negeri, masalah juga boleh berlaku ketika proses ukur tanah.
"Ada juga terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan mengutip duit daripada peserta terpilih untuk satu-satu tempat.
"Contohnya, satu tempat ini kononnya sudah diukur dan terdapat lebih kurang 200 lot tanah, maka yang terpilih ini perlu membayar awal antara RM200 hingga RM300. Malangnya, sampai masa projek itu tidak berjalan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengambil pendekatan positif bahawa masalah yang berlarutan lebih sekitar 35 tahun itu boleh ditangani sekiranya kerajaan negeri memiliki kehendak politik untuk menyelesaikan perkara berkenaan termasuk isu berkaitan perumahan Felda yang terbengkalai.
Mazlan turut menyifatkan, sebagai negeri yang mempunyai lebih daripada 72 kawasan Felda, pembangunan masyarakat di kawasan tersebut seharusnya menjadi teras dalam agenda yang ditetapkan oleh kerajaan Johor selepas ini.
"Ia tidak boleh hanya jadi satu agenda tambahan tetapi mestilah merupakan satu teras kepada pembangunan secara holistik di negeri Johor ini,” ujarnya.
REAKSI GENERASI KEDUA
"Tawaran yang dibuat itu merupakan satu janji yang baik untuk membantu anak Felda memiliki rumah mereka sendiri. Bagi saya kadar premium tanah yang ditetapkan itu memang bersesuaian dengan kemampuan generasi baharu Felda berdasarkan pendapatan mereka." - Anak peneroka, Ralif Kamaruddin, 46
"Dalam keadaan sekarang ini, kos sara hidup makin tinggi terutama jika tinggal di bandar. Jadi kalau kita boleh dapat rumah pada harga mampu milik sebegini, tentulah sangat dialu-alukan. Anak Felda akan balik untuk meriahkan kampung mereka." - Anak peneroka, Shahrizal Abdul Razak, 33
"Insentif ini memang bagus sebab kadar yang ditawarkan itu sangat murah. Tawaran ini secara tidak langusng memberi harapan kepada generasi kami untuk memiliki rumah di kampung sendiri.” - Anak peneroka, Zulaswad Sumari, 20
"Ramai anak peneroka Felda yang masih tinggal di kampung tetapi tidak mampu membeli rumah. Ada yang sudah dapat rumah, tetapi terpaksa lepaskan sebab tidak mampu. Jadi, kalau kadar premium tanah itu rendah, ia memang sangat membantu." - Anak peneroka, Mohd Rizal misbah, 36
"Tawaran ini kalau dilaksanakan tentunya dapat mengurangkan perbelanjaan kami untuk memiliki rumah. Ini secara langsung membolehkan kami berbelanja untuk menampung keperluan lain contohnya dengan membuka perniagaan di sini." - Anak peneroka, Norizhan Johardo, 32
"Berdasarkan situasi sekarang ini, saya rasa bersyukur kalau penetapan kadar itu benar-benar dilaksanakan. Bukan senang hendak dapat pada harga murah. Jadi sebagai generasi kedua, peluang sebegini jangan sesekali dilepaskan." - Anak peneroka, Mohd Saiful kamaruzaman, 29