ALOR SETAR - Pas Kedah menyambut baik pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohd Azmin Ali membabitkan peruntukan pembangunan kepada Kedah bawah perancangan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, peruntukan bernilai hampir RM 4.8 bilion itu diharap dapat menghasilkan impak positif kepada pembangunan negeri ini.
Menurutnya, lima projek tersenarai itu disifatkan berstatus gajah putih susulan telah lama dicanang dan diharap benar-benar dapat dilaksanakan, bukan sekadar halwa telinga kepada rakyat.
"Pengumuman itu sebenarnya, memperlihatkan secara tersirat bahawa Pas Kedah berjaya bawa mesej rakyat tentang perlunya pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat, walaupun berada di posisi pembangkang dengan 15 kerusi DUN,” katanya.
Ahmad Fakhruddin turut menyarankan supaya kerajaan Persekutuan atau negeri mengambil inisiatif menyemak semula dasar-dasar tertentu bagi kesejahteraan rakyat, antaranya penyelesaian isu air, penetapan dan penguatkuasaan harga lantai komoditi sawit dan getah, perumahan golongan B40 serta kemiskinan luar bandar.
"Perlu ada perimbangan antara pembangunan material seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa dan lain-lainnya dengan usaha membebaskan rakyat daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi supaya kedua-dua kepentingan ini bergerak sejajar dan seimbang,” katanya.
Menurutnya, sekiranya kerajaan melakukan perkiraan yang silap, jurang kadar kemiskinan akan kian melebar dan berpotensi menimbulkan perasaan tidak puas hati serta diskriminasi melampau kalangan rakyat.
"Pas tetap komited mempraktikkan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera terhadap kerajaan hari ini. Kami sokong perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat dan negeri, selain tegas menegakkan keadilan terhadap perkara yang menjurus kepada kezaliman,” katanya.
Tujuh projek diumum Pusat untuk Kedah:
1. Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dengan kos RM1.6 bilion
2. Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam, Kulim dengan kos RM300 juta
3. Wujudkan jaringan perhubungan dengan membina lebuhraya Koridor Raya Bandar Baharu- Sungai Petani dan dari Bandar Baharu ke Jambatan Kedua Pulau Pinang, sepanjang 70 kilometer, dengan kos RM1.7 bilion
4. Bina Perpustakaan Digital di Alor Setar dengan kos RM15 juta
5. Taman Industri Petrokimia dengan kos RM2 juta
6. Memperkenalkan kad KIDA (Kasih Ibu Darul Aman) untuk golongan ibu yang menjadi ketua isi rumah menerusi pemberian kad pintar bernilai RM400-RM500 untuk beli barangan keperluan asas. Memanfaatkan 5,482 keluarga miskin dengan kos RM30 juta setahun.
7. RM1.13 bilion tambahan bajet kepada Kedah untuk projek pembangunan, merangkumi 51 projek baharu dan 201 projek sambungan.