BATU PAHAT - Calon tempatan dijangka menjadi pilihan majoriti pengundi di kawasan Batu Pahat sekali gus mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata- rata pengundi inginkan wakil rakyat yang lebih dekat dengan mereka dan mudah untuk berurusan sekiranya mempunyai masalah.
Malah, calon tempatan lebih dikenali dan memahami budaya, demografi serta masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan mereka sendiri.
Seorang pengundi di Batu Pahat, Izan Markaban, 53, berkata, calon tempatan lebih diyakini untuk mendengar suara mereka berbanding orang luar.
"Sekarang ini kami sudah tidak mahu pilih calon luar sebab susah kepada kami.
"Kami akan pilih calon yang memang ada di sini, sebab kami perlu pilih calon yang memang nampak.
"Kalau pilih calon luar tunggu lima tahun baru nampak nak turun tengok rakyat kerana kalau orang tempatan hari-hari kita boleh nampak,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, peniaga, Siti Nurfatehah Sapiee, 34, juga senada mahu memilih calon tempatan bagi PRN kali ini.
Menurutnya, latar belakang dan keluarga bagi calon tempatan lebih mudah dikenali sekiranya mereka orang tempatan atau tinggal di kawasan tersebut.
"Jika kita pilih calon tempatan, kita kenal keluarga, latar belakang mereka.
"Jadi, kecenderungan mereka untuk tidak berkhidmat selepas menang pilihan raya ini rendah sebab mereka bawa nama baik keluarga.
"Kalau calon tempatan ini ibu bapa dia dekat sini lagi senang, kita tegur. Sebut nama dia, nama ayah senang terus kita tahu siapa dia ini,” ujarnya.
Yusof Sari, 57, juga berpendapat bahawa calon tempatan lebih memahami kehendak, permasalahan rakyat bagi kawasan mereka.
"Sebaik-baiknya calon tempatan, sebab mereka lebih tahu budaya, kehendak orang kampung.
"Kalau orang luar ini, ‘on and off’ senang cakap pilihan raya sahaja nampak muka dia. Itu normal.
"Risiko orang luar itu lah dia sekejap ada sekejap tiada. Mereka ini kadang-kadang banyak masalah tidak tahu budaya tempatan,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my