Nelayan berusaha pulih Sungai Tebrau tercemar

Iklan
Hamid (kanan) dan rakannya Rafin Mat Tahir, 65, membersihkan sampah sarap di tepi Sungai Tebrau di Kampung Bakar Batu baru-baru ini. -Foto: Bernama

JOHOR BAHRU - Sekitar tahun 70-an hingga 90-an, Sungai Tebrau di bandar raya Johor Bahru ini bersih dan kaya dengan hasil hidupan sungai dengan orang ramai pula boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti mandi-manda.

Sayangnya semua itu tinggal kenangan, apabila sungai sepanjang 46 kilometer itu semakin tercemar dan kotor akibat pelbagai kegiatan manusia.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, Sungai Tebrau dikategorikan sebagai sungai ke-53 terkotor di dunia oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ocean Cleanup pada tahun lalu.

Tinjauan di Sungai Tebrau di Bakar Batu baru-baru ini, mendapati isu sampah di sungai itu seolah-olah tidak berpenghujung dengan pelbagai bentuk sampah-sarap dibuang ke sungai menyebabkan bau busuk dan berlendir.

Iklan

Keadaan kotor dan berbau busuk itu bagaimanapun, tidak pernah memadamkan impian seorang penduduk Bakar Batu, Rosli Osman, 60, yang mahu melihat sungai itu kembali kepada bentuk asalnya iaitu bersih dan menjadi habitat kepada pelbagai kehidupan sungai.

Bagi merealisasikan impian itu, dia bersama dua rakannya akan turun ke Sungai Tebrau hampir setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi bagi mengutip sampah-sarap yang hanyut.

Iklan

Dalam tempoh setahun kata Rosli, jumlah sampah yang dikutip mampu memenuhi 160 tong roro atau bersamaan 240 tan, iaitu jika digambarkan ia boleh menutup separuh padang bola sepak.

"Keadaan sungai sekarang sangat berbeza, dahulu di tepi sungai ini pasirnya cantik dan ramai yang datang beriadah untuk mandi-manda. Sekarang ini jangan katakan manusia, ketam pun lari sebab geli pasirnya kotor sangat,” katanya baru-baru ini.

Menjadi nelayan sejak usia 40-an, Rosli berkata, pelbagai pengalaman dan pasang surut kehidupan sudah ditempuh, termasuk kehilangan punca pendapatan disebabkan pencemaran sungai tersebut.

"Dulu senang-senang boleh dapat 10 hingga 15 kilogram hasil tangkapan di sungai ini, tetapi sekarang ini nak dapat sekilogram pun susah.

"Dulu di sungai ini banyak udang, ketam, lokan dan kupang tetapi sekarang tinggal lokan, berongai dan tilapia sahaja,” katanya.

Pendapat itu dipersetujui rakannya, Hamid Yusof, 64, yang menetap di kawasan sama dan menjalani aktiviti nelayan di sungai tersebut.

Dia turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak prihatin dengan alam sekitar sehingga sanggup mencemarkan keindahan alam semula jadi.

"Nak cakap apa lagi, memang kecewa sangat dengan pencemaran sungai ini. Tahun lepas saya ternampak sebuah lori membuang sampah di sungai ini. Sampai bila kita nak jadi macam ni, saya penat,” katanya. -Bernama