KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin ditangguhkan ke hujung bulan ini.
Selepas prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam berkata, ia berikutan peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu masih berada di luar Negara.
Ekoran itu katanya, mahkamah menetapkan perbicaraan kes yang dihadapi Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bermula 28 Mac.
"Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib akan pulang ke tanah air dari London, esok.
"Selepas itu Tan Sri Muhammad Shafee akan menjalani tempoh kuarantin selama lima hari,” katanya kepada media.
Ia turut disahkan oleh peguam, Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda dan perbicaraan ditetapkan bermula 28 hingga 31 Mac ini.
Difahamkan, Muhammad Shafee ke London untuk mendapatkan khidmat peguam kanan atau Queen's Counsel (QC) dari United Kingdom.
Pada 24 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, Najib akan memfailkan permohonan supaya QC dapat mewakilinya dalam prosiding pendengaran rayuan akhir berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
QS ialah peguam kanan senior dan berpengalaman dari United Kingdom (UK).
Prosiding untuk mendengar permohonan itu di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, dijangka berlangsung antara 20 hingga 24 Jun depan.
Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
End
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/184610/BERITA/Semasa/Najib-mohon-Queens-Counsel-wakilinya-di-Mahkamah-Persekutuan
2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/185321/BERITA/Semasa/Prosiding-dengar-permohonan-Najib-guna-QC-pada-Jun-depan
2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf