Nelayan Hamid Yusof, 64, (kanan) dan rakannya Rafin Mat Tahir, 65, membersihkan sampah sarap di tepi Sungai Tebrau ketika tinjauan di Kampung Bakar Batu baru-baru ini. Pada 1970-an hingga 1990-an, Sungai Tebrau merupakan sungai yang bersih dan kaya dengan hasil hidupan marin dan pengunjung boleh melakukan aktiviti riadah seperti mandi-manda.
Namun sayangnya kini sungai sepanjang 46 kilometer itu tercemar dan kotor akibat pelbagai kegiatan di sekitar sungai berkenaan. Malah sungai itu pernah dikategorikan sebagai sungai ke-53 terkotor di dunia pada 2021 oleh organisasi bukan kerajaan (NGO), Ocean Cleanup.
Pemerhatian di Sungai Tebrau di Bakar Batu, mendapati isu sampah di sungai itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian, sampah masih berselerak, bau busuk dan berlendir.
Walaupun kotor dan berbau busuk, ia tidak pernah memadamkan impian seorang penduduk Bakar Batu, Rosli Osman, 60, yang mahu melihat sungai itu kembali kepada bentuk asalnya iaitu bersih dan menjadi habitat kepada pelbagai kehidupan marin. - Foto Bernama