Suami isteri sebak terima skrol diploma arwah anak

Iklan
Abd Razak ditemani Najah Aspalila menerima skrol diploma arwah anak mereka, Hanis Nuraishah Nasuha yang disampaikan Mahdzir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia pada Isnin.

NILAI - Pasangan suami isteri tidak dapat menahan sebak sewaktu menerima skrol diploma anak mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan tahun lalu ketika Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Isnin.

Abd Razak Isa, 57, dan Najah Aspalila Alias, 52, mewakili Hanis Nuraishah Nasuha Abd Razak, 21, menerima skrol Diploma Sains Pertanian dan Anugerah Yayasan Risda yang disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Iklan
Iklan

Menurut Abd Razak, pada awalnya, dia dan isteri pada mulanya berat hati untuk datang menerima skrol berkenaan kerana sedih mengenang pemergian Hanis Nuraishah Nasuha.

"Tapi anak-anak yang memujuk minta kami pergi sebagai penghormatan untuk arwah dan isteri pun hanya buat keputusan malam tadi (Ahad).

Iklan

"Walaupun arwah tidak berpeluang menerima sendiri skrol ini, tapi sebagai bapa saya bangga dengan pencapaian cemerlangnya.

"Anugerah Yayasan Risda diterima ini juga dapat memberi satu semangat baharu untuk saya dan isteri mendidik anak-anak lain untuk berjaya seperti arwah," katanya kepada Sinar Harian.

Abd Razak dan Najah Aspalila memegang gambar Allahyarhamah Hanis Nuraishah Nasuha bersama diploma dan Anugerah Yayasan Risda yang diterima

Iklan

Beliau yang tinggal di Kampung Tedong, Lanchang di Pahang berkata, Hanis Nuraishah Nasuha seorang anak yang baik dan komited dalam apa saja yang dilakukan.

Ujarnya, Allahyarhamah yang merupakan anak ketiga sememangnya meminati bidang pertanian dan bercita-cita menjadi seorang usahawan tani yang berjaya.

"Dia minat bidang pertanian dan sebab itu buat keputusan untuk duduk di kampung sebaik saja tamat pengajian.

"Dua bulan sebelum terbabit kemalangan, arwah ada beli seekor lembu dan sebagai galakan saya hadiahkannya seekor kerbau. Tapi nampaknya apa yang dia nak buat tidak kesampaian.

Bercerita mengenai kemalangan menimpa Hanis Nuraishah Nasuha, ketika kejadian, anaknya itu dalam perjalanan pulang ke rumah, namun motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas.

Abd Razak yang merupakan pekebun kecil Risda berkata, jika sebelum ini dia dan isteri melihat bagaimana sebaknya hati ibu bapa lain yang terpaksa hadir menerima skrol buat anak yang telah meninggal dunia.

"Tapi sekarang kami pula laluan keadaan itu. Apa-apa pun saya berbangga dengan arwah," katanya.

Sementara itu pada majlis konvokesyen berkenaan, seramai 845 graduan telah menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan 2021 dengan menerima sijil, diploma dan sarjana muda dalam bidang masing-masing.

Seramai 92 graduan menerima Anugerah Naib Canselor manakala 11 graduan dianugerahkan Anugerah Yayasan Risda yang membawa pulang wang tunai keseluruhan RM22,000.

Selain itu, Anugerah Anumerta disampaikan kepada waris tiga penuntut yang meninggal dunia tanpa sempat menamatkan pengajian iaitu Mohamad Haikal Mohd Salleh, Muhammad Nur Haziq Yaman dan Muhammad Izzat Aiman Mat Raji.

Muhammad Haziq Danial Ali yang merupakan generasi ketiga Felda Jengka 20 pula menerima Anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik.