NILAI - Sekarang ini bukan waktu sesuai untuk berdebat berkenaan isu Felda sebaliknya pemimpin perlu fokus terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata demikian merujuk kepada Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Felda.
"Perkara yang perlu diselesaikan ketika ini adalah PRN Johor. Musim (PRN) macam ini tak perlulah berdebat. Lebih elok fikirkan soal rakyat dan selesaikan dulu PRN Johor.
"Tak perlu bercerita mengenai debat. Nak menegakkan siapa? Penting adalah kesejahteraan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pada Isnin.
Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan tindakan Mohamed Azmin mencabar Najib untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Mohamed Azmin berkata, debat itu hendaklah dilakukan sebelum proses pengundian dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Dalam pada itu ditanya pandangan mengenai parti lain yang belum menamakan calon Menteri Besar Johor, Mahdzir berkata, kemungkinan ada yang tidak menamakannya langsung.
"Tak tahulah. Tunggu sahaja mesyuarat mereka," katanya ringkas.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my