PELUMBA Gresini Racing, Enea Bastianini dari Itali menyingkap tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini dengan sejarah tersendiri apabila meraih kejuaraan perlumbaan GP Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Doha.
Malah pelumba itu turut menghadiahkan kemenangan dalam penampilan sulung di saingan teratas perlumbaan permotoran tersebut kepada pengasas pasukan, Fausto Gresini yang juga suami pemilik pasukan, Nadia Padovani.
Iklan
Iklan
"Sukar untuk saya mengungkap kegembiraan ini, namun kemenangan ini didedikasikan buat Fausto. Dia banyak membantu saya sebelum ini selain komitmen padu setiap ahli pasukan. Ya, satu perlumbaan yang mencabar dan sengit. Ini kemenangan menakjubkan buat pasukan,” kata Bastianini.
Untuk rekod, Gresini, juara dunia dua kali kategori 125cc (kini Moto3), meninggal dunia tahun lalu pada usia 60 tahun dua bulan selepas dijangkiti Covid-19.
Bastianini menamatkan perlumbaan di hadapan pelumba Red Bull KTM, Brad Binder yang bermula di petak ketujuh diikuti pelumba Honda, Pol Espargaro ketiga.
Sementara itu, juara enam kali, Marc Marquez dari Honda pula menduduki tempat kelima manakala juara bertahan yang juga pelumba Yamaha, Fabio Quartararo di tempat kesembilan.
Artikel Berkaitan