Presiden Ukraine terselamat tiga cubaan bunuh

Iklan
Plot bunuh Zelenskyy itu berjaya digagalkan selepas mendapat maklumat daripada 'pihak dalaman' yang bekerja untuk Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia. - Foto: Agensi

LONDON - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy didakwa terselamat tiga cubaan bunuh yang didalangi ejen disokong Moscow pada minggu lalu.

Rancangan itu dibongkar The Times of London yang mendakwa ia cuba dilakukan tentera upahan Wagner Group milik Yevgeny Prigozhin yang merupakan sekutu kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dan unit elit Chechen di bawah kepimpinan Ramzan Kadyrov.

Iklan
Iklan

"Beberapa plot itu berjaya digagalkan selepas mendapat maklumat daripada 'pihak dalaman' yang bekerja untuk Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) yang menentang keras kempen pencerobohan ke atas Kiev," jelas laporan tersebut.

Perkara itu turut disahkan Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine, Oleksiy Danilov yang memberikan laporan sama menerusi aplikasi Telegram.

Iklan

"Kami berterima kasih atas maklumat diberikan FSB yang membongkar rancangan jahat untuk menghapuskan presiden kami," ujarnya.

Sebelum ini, Zelenskyy pernah memberi amaran 'kumpulan pensabotaj musuh' bergerak secara aktif di Kiev dan beliau menjadi sasaran No.1 kempen pencerobohan Rusia.

Iklan

Pada Ahad, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menerusi wawancara bersama Face the Nation di CBS News menyatakan kerajaan Ukraine mempunyai pelan kontingensi jika Zelenskyy terbunuh.

"Mereka sudah ada rancangan, namun saya tidak mahu bercakap tentang perkara tersebut atau butiran tentangnya," katanya ketika disoal sama ada Washington sedang mengusahakan pelan sementara untuk menyokong kerajaan Ukraine tanpa Zelenskyy. - Agensi

Info:

>Moscow telah melancarkan 600 peluru berpandu sejak kempen pencerobohan ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari lalu. Kira-kira 95 peratus kuasa tempur Rusia telah mara ke Kiev.

>Pertempuran sengit masih berterusan di Kherson dan Mykolaiv. Tentera Rusia masih cuba mengepung Kiev, Kharkiv, Chernihiv dan Mariupol.