Mestecc mahu hukuman ditingkatkan

Iklan
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menyampaikan taklimat kajian mengenai pencemaran Sungai Kim Kim di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dalam proses meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam usaha untuk memperketatkan lagi undang-undang berkenaan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, ia berikutan terdapat aspek-aspek lain yang belum dirangkumi di dalam akta berkenaan selain mahu hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak kementerian akan mengadakan sesi bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklumat lanjut bagi menjayakan usaha tersebut.

"Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dalam proses untuk dipinda iaitu bagaimana kita hendak perketatkan akta kualiti alam sekeliling.

Iklan

"Ada aspek-aspek lain dalam alam sekitar yang belum lagi kita rangkumi dalam akta ini akan dimasukkan.

"Kita akan adakan sesi bersama pihak berkepentingan untuk meminta maklumat lanjut.

Iklan

"Ada hukuman lebih berat bergantung kepada skala kejadian itu. Kita dapati akta sedia ada sekarang apa-apa kejadian melibatkan pengurusan sisa buangan terjadual denda dikenakan adalah sama iaitu penjara lima tahun dan maksimum RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembentangan laporan jawatankuasa saintifik susulan pencemaran bahan sisa kimia Sungai Kim Kim di Bangunan Dato Jaafar Muhamad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Tambahnya, melihat kepada pencemaran berlaku di Sungai Kim Kim yang melibatkan kawasan air, hukuman harus dikaji semula dan memerlukan sesi bersama pihak berkepentingan.

"Kita akan tingkatkan hukuman untuk mereka yang cemarkan alam sekitar. Tetapi saya hendak tegaskan di sini walaupun kita ada undang-undang, jika kita tidak perkukuhkan jentera Jabatan Alam Sekitar (JAS), ia tidak akan membawa apa-apa maksud.

"Jadi ini adalah inisiatif kita umumkan dan sedang buat dalam Mestecc tetapi kita perlukan sedikit masa untuk perkukuh jentera kita," katanya.