PRN Johor: Manifesto Muda, PH tidak bercanggah

Iklan
Amira Aisya (tiga dari kanan) bersama-sama calon PRN Johor dan kepimpinan Muda menunjukkan manifesto Muda yang dilancarkan di Bilik Gerakan Muda Johor, Taman Eco Cascadia, Johor Bahru pada Isnin.
JOHOR BAHRU - Tidak timbul isu percanggahan manifesto antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pakatan Harapan (PH) yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz menjelaskan, ini kerana manifesto Muda dengan nama Tekad Muda dan manifesto PH iaitu Tawaran Tindakan PH Johor berkongsi prinsip asas yang sama.

"Manifesto kami tidak bercanggah dengan manifesto PH, manakala majoriti intipatinya menyaksikan kami berkongsi prinsip yang selari seperti menolak rasuah, elaun peruntukan sama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan akta anti lompat parti.

Iklan
Iklan

"Soal prinsip sama untuk kedua-duanya, PH dan juga Muda. Pada akhirnya kita akan pasti manifesto itu memberi manfaat kepada rakyat dan pengundi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran Tekad Muda yang disempurnakan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara dalam talian di Bilik Gerakan Muda Johor, Taman Eco Cascadia di sini pada Isnin.

Iklan

Kata Amira Aisya, sekiranya kerjasama Muda dan PH berjaya membentuk kerajaan, kedua-dua pihak sedia berunding bagi mencapai kata sepakat yang menguntungkan masing-masing.

"Rundingan itu adalah berdasarkan prinsip menang-menang. Muda masuk ke PRN Johor ini dengan semangat untuk bekerja demi rakyat dan menubuhkan kerajaan negeri dengan PH," katanya.

Iklan

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, lima tekad diumumkan Muda dibuat bersandarkan suara rakyat negeri ini yang mahukan perubahan positif dalaman pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

Lima tekad tersebut katanya, untuk membina Johor dengan kepimpinan bertenaga dan pantas, mengamalkan demokrasi pro rakyat, membela golongan pertengahan (M40), merapatkan jurang kelas masyarakat dan kemajuan ekonomi untuk semua.

"Tekad Muda itu akan menjadi fokus kepada kerjasama politik Muda dengan PH kerana sedar adalah mustahil untuk menubuhkan kerajaan negeri dengan hanya tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Namun sekiranya gagal menubuhkan kerajaan negeri, beliau berkata, Muda bertekad menjadi pembangkang yang konsisten dan paling lantang bersuara untuk melaksanakan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, antara intipati Tekad Muda adalah untuk menyelesaikan masalah hartanah tidak terjual secara pembelian pukal oleh kerajaan negeri dan menubuhkan Majlis Rakyat di peringkat DUN.