SHAH ALAM - Parti Pejuag Tanahair (Pejuang) sentiasa cakna dengan isu rakyat khususnya kemandirian anak muda Johor untuk membantu keluarga mereka keluar dari kelompok kemiskinan.
Calon Pejuang Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Shafiq Othaman berkata, parti itu berusaha menganjurkan program memperkasakan anak muda sebagai usaha membantu mereka menjana kewangan untuk keluar daripada senarai penerima bantuan kebajikan.
"Jadi dalam Aspirasi Johor (manisfesto Pejuang), kami ingin memperkasakan anak muda kerana mereka adalah kunci kepada keluarga untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Ini adalah teras dalam Aspirasi Johor.
"Teras kedua adalah perkara yang perlu diperbaiki iaitu ekonomi Malaysia, apabila dah stabil satu hari nanti masalah kebajikan rakyat akan menurun,” katanya ketika menjadi panelis Program Berani Bersemuka bertajuk 'Anak Muda Pilih Siapa?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Turut menjadi panelis adalah calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) DUN Larkin, Rasid Abu Bakar manakala personaliti televisyen, Amin Idris bertindak sebagai moderator dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis sebagai tetamu jemputan.
Mengulas lanjut Ahmad Shafiq berkata, Pejuang menampilkan calon-calon yang komited dan terbaik untuk memimpin Johor dan bertekad membawa politik negeri itu ke landasan yang betul.
"Johor sudah lama tersimpang dari landasan politik sebenar. Jadi kita akan bawa (Johor) menuju ke arah kemajuan, kejayaan kerana sekarang kita perlu memperbaiki diri, negeri, negara (dan) apabila berjaya dilaksanakan, Malaysia akan dikenali dengan semangat aman dan harmoni.
"Perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan apabila memilih pemimpin yang jauh dari rasuah. Rasuah penghancur bangsa Malaysia dan ini kita perlu elakkan," ujarnya.