JIKA dahulu bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, kini seorang anak muda berjaya keluar dari kepompong kemiskinan selepas berkecimpung dalam bidang pertanian.
Muhammad Salleh Jamail, 32, dari Kampung Talang, Tanjung Belanja di sini memulakan tanaman cili di tanah seluas 0.4 hektar selepas mengikuti kursus dan latihan di Institut Agro Usahawan (IGROW) yang ditaja Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Menurutnya, berbekalkan ilmu pengetahuan dan bimbingan yang diperoleh dalam tempoh tiga bulan, tanaman cili secara fertigasi sebanyak 1,000 polibeg mula mengeluarkan hasil sehingga dua tan metrik.
"Dulu macam-macam kerja kampung saya buat seperti ambil upah meracun, potong buah sawit dan sebagainya dengan pendapatan yang tak menentu. Ada kalanya bolehlah dapat sehingga RM1,500 lepas buat macam-macam kerja.
"Tapi sekarang alhamdulillah, dengan bantuan MAIPk dan IGROW, dalam masa empat bulan saya berjaya peroleh RM10,000 hasil tanaman cili fertigasi yang diusahakan ini," katanya kepada Sinar Harian.
Mengakui bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan modal besar dan kemahiran, Muhammad Salleh tekad untuk mengubah hidup diri sendiri serta keluarga.
Menurutnya, bidang pertanian memang diminati memandangkan kerja-kerja kampung yang dilakukan sebelum ini berkait rapat dengan bidang tersebut.
Jelasnya, penggunaan teknologi fertigasi dalam penanaman itu memberi satu ilmu yang baharu yang memudahkannya menguruskan tanaman cili berkenaan tanpa memerlukan ramai pekerja.
"Memang kita nampak hasil cili ini menjadi tetapi kalau tak ada ilmu memang tak akan berjaya. Ada masanya cili-cili ini diserang penyakit dan rosak namun disebabkan ilmu serta bimbingan yang diberi, saya dapat atasi masalah ini.
"Melihat kepada kejayaan ini, saya merancang untuk menambah lagi bilangan cili untuk memaksimumkan penggunaan tanah yang sedia ada sebab sekarang ini hanya guna suku ekar," katanya.
Walaupun modal awal sebelum ini berjumlah RM15,000 dibantu oleh MAIPk, dia kini sudah mempunyai modal sendiri untuk membesarkan lagi perniagaan berasaskan pertanian itu.
Bukan itu sahaja, beberapa orang rakannya turut berminat untuk belajar dan memberikan sokongan terhadap pertanian yang diusahakan itu memandangkan kawasan Perak Tengah mempunyai banyak tanah terbiar.
Muhammad Salleh yakin dalam tempoh beberapa tahun lagi dia mampu menjadi antara pengeluar tanaman makanan di daerah Perak Tengah.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek yang membimbing Muhammad Salleh menjelaskan kerjaya dalam bidang pertanian sememangnya mendatangkan pulangan lumayan.
Jelasnya, bagaimanapun usahawan bidang pertanian ini memerlukan latihan dan bimbingan untuk memastikan mereka berjaya bangkit.
Beliau berkata, kerajaan dicadangkan untuk menyediakan konsep pertanian generasi baharu menerusi pemberian insentif secara automatik agar mereka yang mengikuti latihan boleh terus mengusahakan tanaman.
Katanya, langkah itu perlu diambil bagi memastikan lebih ramai petani dilahirkan sekali gus memberi jaminan kepada bekalan makanan negara tanpa perlu lagi bergantung kepada import.