SEBELUM ini, pada penghujung tahun 2021, Malaysia digemparkan dengan situasi banjir terburuk yang melanda beberapa negeri, termasuklah di Lembah Klang.
Belum pun sampai tiga bulan bencana tidak dijangka itu berlaku, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang pada Isnin sekali lagi dinaiki air akibat banjir kilat yang bermula sekitar jam 3 petang.
Banjir kilat yang mula melanda ibu negara itu menjejaskan sekurang-kurangnya 23 kawasan dan menyebabkan ribuan kenderaan dan ratusan rumah terjejas akibat ditenggelami air.
Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media memaklumkan, kejadian banjir berpunca daripada hujan luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.
Menurutnya, bacaan hujan yang tinggi dalam tempoh dua jam telah direkodkan di stesen Taman Desa SMART dengan bacaan 106.5 milimeter (mm), manakala Stesen Air Panas dengan bacaan 155 mm.
Sedangkan kebiasaannya, bacaan hujan setahun adalah sebanyak 2,500 mm, manakala 200 mm bagi sebulan.
Dalam pada itu, katanya, semua infrastruktur sistem kawalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPSWPKL) telah digerakkan ekoran banjir kilat tersebut.
Sistem kawalan banjir seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir juga beroperasi dengan baik, mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di Lembah Klang sebelum ini difahamkan sudah siap siaga dengan logistik dan tenaga kerja untuk digerakkan sekiranya berlaku banjir kilat.
Pelbagai usaha tebatan banjir juga telah dimulakan dengan harapan dapat mengurangkan berlakunya banjir yang boleh mengakibatkan kemusnahan kediaman dan premis perniagaan.
Majlis Bandaraya Shah Alam sedang memantau takungan dan pamnya bagi memastikan kemudahan tersebut berfungsi.
Antara kawasan yang dipantau ialah Taman Sri Muda, Taman Mesra, Kampung Kebun Bunga, Padang Jawa dan Seksyen 13.
Saintis iklim sebelum ini juga pernah memberi bayangan Malaysia berkemungkinan akan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir lebih banyak pada masa akan datang.
Justeru, banjir yang melanda Lembah Klang dan negeri-negeri di pantai timur sebelum ini perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak agar lebih peka dengan keadaan cuaca dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan situasi terburuk.
Penduduk yang berada di lokasi yang pernah terlibat dengan banjir misalnya, perlu mula melatih untuk segera menyelamatkan diri dan keluarga sekiranya hujan berterusan dan air mulai naik di kawasan masing-masing.
Mereka juga perlu mengetahui tentang persiapan menghadapi bencana dengan menyediakan bekalan kecemasan sekiranya terperangkap di rumah, contohnya air minum, makanan kering, ubat-ubatan, 'powerbank' untuk mengecas telefon bimbit sementara menunggu bantuan tiba.