KOTA TINGGI - Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi anggota polis di pusat pengundian Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, di sini mula dilaksanakan pada jam 8 pagi Selasa.
Difahamkan, seramai 396 anggota polis termasuk pasangan akan menjalankan kewajipan di pusat pengundian itu yang akan dibuka sehingga 5.30 petang ini.
Individu yang didapati bergelaja atau memiliki status MySejahtera sebagai kes disyaki Covid-19 akan melaksanakan pengundian di bawah pemantauan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat berasingan di luar dewan.
Pelaksanaan undi awal itu juga dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 antaranya, penjarakan satu meter dan pemakaian pelitup muka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daripada keseluruhan rakyat yang layak mengundi, 2,574,835 orang merupakan pengundi biasa, 10,955 orang anggota tentera dan pasangan, 11,576 orang anggota polis dan pasangan, serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebelum itu telah menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.