PRN Johor: 'Pengalaman' jadi modal,taruhan kempen calon DUN Skudai

Iklan
PRN Johor berlangsung pada 12 Mac ini. Gambar hiasan: Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Pengalaman membantu masyarakat dan perancangan menangani masalah rakyat menjadi modal dan taruhan kempen beberapa calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai bagi menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Mereka juga menyatakan kesediaan untuk terus memperjuangkan agenda masing-masing seperti calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu Khoo Kong Ek yang telah merangka pelan perancangan 10 tahun bagi membangunkan kawasan itu, sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

Kong Ek yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai pada 1999 hingga 2004 berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir untuk menangani isu banjir kilat yang dialami penduduk di beberapa kawasan di Skudai sejak sekian lama dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus dapat membantu memulihkan ekonomi rakyat, merupakan antara fokus pelan perancangannya itu.

"Saya mengambil masa yang panjang untuk mengkaji dan meneliti pelan perancangan untuk kawasan ini sekali gus menjadikan Skudai lebih berdaya maju.

"Saya akan memberi fokus kepada usaha untuk memacu kembali ekonomi Skudai yang terjejas akibat pelbagai isu termasuk banjir kilat, selain meningkatkan semula pendapatan rakyat jika diberi mandat mentadbir DUN ini sekali lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, Kong Ek memenangi kerusi DUN Skudai atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Gerakan. Namun, beliau mengambil keputusan keluar daripada parti itu pada 2020 dan menyertai Bersatu pada awal tahun lepas.

Ketua Biro Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Johor itu berkata, pelan perancangan yang dirangka itu juga antara lain akan memberi fokus menjadikan Skudai sebagai sebuah bandar pintar, membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menubuhkan dana bagi membantu golongan yang memerlukan terutama rakyat yang tidak mempunyai perlindungan perubatan.

Sementara itu, calon BN Lim Soon Hai berkata, sebagai anak jati Skudai yang turut mempunyai pengalaman sebagai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan selama tujuh tahun, membuatkannya lebih memahami permintaan dan kehendak masyarakat setempat.

"Bagi saya setiap calon ada kelebihan, tetapi sebagai anak jati Skudai, saya tahu permintaan dan kehendak rakyat di sini...saya juga bekerja di sini dan berkhidmat untuk masyarakat. Jadi saya harap daripada segi rekod saya yang tercatat semasa jadi ahli majlis dahulu, saya rasa lebih berkeyakinan,” katanya.

Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Iskandar Puteri itu turut senada dalam memberikan fokus untuk menangani isu banjir kilat di kawasan Skudai dan ingin merancakkan kembali sektor ekonomi di kawasan itu.

"Antara fokus yang saya akan perjuangkan selain isu banjir, ialah penambahbaikan sistem lalu lintas, infrastruktur dan prasarana yang uzur dan paling penting ialah aspek ekonomi. Justeru, saya harap sempadan negara dibuka secepat mungkin bagi memastikan perniagaan yang terjejas semenjak pandemik Covid-19 kembali pulih,” katanya.

Sambil mengakui tugas untuk membangunkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang dianggarkan seramai 150,000 itu bukannya mudah, namun beliau tidak akan berputus asa dan berjanji akan menjalankan tugas dengan baik sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

DUN Skudai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon DAP Marina Ibrahim, Lim dan Khoo.

Pada PRU ke-14, kerusi itu dimenangi Tan Hong Pin (PH-DAP) menewaskan S. Kanan (BN) dengan majoriti 35,126 undi. - Bernama