KUALA LUMPUR - Empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev masih berada di Ukraine selepas misi evakuasi baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ada antara mereka yang berkahwin dengan warganegara tempatan.
"Pihak kedutaan melalui kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di negara berdekatan Ukraine sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.
"Kedutaan Malaysia sentiasa bersedia membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu dan bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara, urusan dokumentasi seperti pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi individu yang memerlukan, memastikan keadaan serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara serta lain-lain urusan berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan M Kulasegaran (PH - Ipoh Barat) yang memintanya menyatakan sama ada kerajaan menyedari bahawa ramai rakyat Malaysia terkandas di Ukraine dan jenis bantuan yang telah serta akan disalurkan bagi membantu mereka.
Dalam pada itu Saifuddin turut merujuk video berdurasi 45 saat tular di media sosial yang mendakwa sekumpulan pelajar Malaysia masih lagi terkandas di Ukraine.
"Sehingga kini, tiada pengesahan dapat dibuat ke atas dakwaan tersebut serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.
"Namun, saya ingin menggesa supaya mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak Kedutaan, untuk segera berbuat demikian,” katanya.