JOHOR BAHRU - Sejumlah 26 peratus petugas barisan hadapan terdiri polis dan tentera serta pasangan yang mengundi awal hari ini, sudah keluar menjalankan tanggungjawab mereka setakat jam 10 pagi tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran dibuka bermula 8 pagi bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramai 11,500 anggota Polis Diraja Malaysia ( PDRM) bersama pasangan di seluruh negeri terlibat dengan pengundian awal.
Katanya, proses pengundian awal melibatkan anggota polis berjalan lancar meskipun hujan renyai pada awal pagi.
"Hujan lebat pada awal pagi menyebabkan jumlah pengundi yang hadir agak sedikit. Namun tinjauan yang diadakan pada jam 9 pagi di pusat-pusat undi awal mendapati setiap pusat undi mencatatkan jumlah pengundi seramai 60 hingga 70 orang.
"Jumlah kehadiran pengundi terus meningkat pada jam 10 pagi di mana kalau dapat lihat seramai 200 hingga 300 anggota beratur menunggu giliran untuk mengundi," katanya ketika ditemui di luar pusat mengundi di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ( JBS) Raub Selamat berkata, seramai 1,257 anggota pasangan di JBS layak mengundi awal pada hari ini.
Katanya, sebanyak empat pusat pengundian awal dibuka bagi anggota JBS melaksanakan tanggungjawab mereka iaitu di Balai Polis Setia Indah, Dewan Orkid Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) JBS, Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Balai Polis Marin Tampoi," katanya.