THE HAGUE - Seorang peguam Belanda mewakili seorang suspek Rusia yang dituduh menjatuhkan sebuah pesawat penumpang syarikat Malaysia Airlines pada tahun 2014 pada Isnin memaklumkan tiada saksi yang boleh melibatkan anak guamnya dalam kejadian mengakibatkan seramai 298 orang terbunuh.
Pesawat MH17 itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine yang dilanda perang pada 17 Julai tahun itu.
Peguam itu berhujah di hadapan hakim ketika perbicaraan disambung semula dekat dengan lapangan terbang Schiphol, Belanda.
"Tidak ada seorang pun saksi yang dapat memberi kesaksian mengenai peranan, kedudukan atau dakwaan pelanggan kami dalam tuduhan tersebut," kata peguam berkenaan Boudewijn van Eijck kepada hakim seperti dilaporkan AFP
"Walaupun demikian, pihak pendakwaan berpendapat bahawa walaupun dengan sedikit bukti keterlibatannya, dia harus diadili dan mereka menuntut hukuman tertinggi terhadapnya," kata Van Eijck.
Empat suspek diadili dalam perbicaraan itu termasuk tiga warga Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov dan seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko yang dituduh atas peranan mereka melancarkan peluru berpandu BUK ke atas pesawat MH17 di timur Ukraine yang ketika itu dilanda perang.
Pulatov satu-satunya diwakili peguambela, Van Eijck dalam kes tersebut.
Pihak pendakwa raya meminta hukuman penjara seumur hidup terhadap keempat-empat lelaki itu ketika mereka menutup kes mereka pada akhir tahun lalu.
Dalam perbicaraan itu, keempat-empat suspek tidak hadir dan keputusan perbicaraan akan diketahui akhir tahun ini. - AFP