Anwar gesa kerajaan utamakan projek perparitan, takungan air

Iklan
Anwar

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa kerajaan mengutamakan projek infrastruktur dalam rangka tebatan banjir termasuk perparitan dan takungan air.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu, perkara itu perlu didahulukan dengan menangguh segala projek mega yang menelan kos mencecah bilion ringgit.

Iklan
Iklan

Beliau menggesa perkara tersebut selepas banjir sekali lagi berlaku di sebahagian Kuala Lumpur bermula Isnin.

"Saya pernah membangkitkan permasalahan ini di Dewan Rakyat ketika sesi penerangan oleh menteri-menteri pada 20 Januari lepas berhubung musibah banjir hujung tahun lalu.

Iklan

"Saya sebut bahawa tangguhkan dahulu segala projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit, dan saya turut mengusulkan projek infrastruktur dalam rangka tebatan banjir termasuk perparitan dan konsep ‘sponge city’, atau projek takungan air," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Menurut beliau, masalah perparitan dan projek tebatan banjir menelan kos yang tinggi tetapi banjir yang melanda sebahagian Kuala Lumpur mengesankan ribuan pengguna jalan raya dan menjejaskan penduduk di kawasan yang terpinggir.

Iklan

"Saya mendesak kerajaan untuk bertindak segera dan maklumkannya secara terbuka,” katanya.

Pada Isnin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan sembilan kawasan sekitar ibu kota dilanda banjir kilat setakat jam 6.25 petang.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kawasan terlibat adalah Jalan Kuchai Lama, Jalan Air Keroh-Air Panas, Jalan Leboh Ampang, Taman Salak Selatan, Taman U-Thant, Taman Sri Petaling, Jalan Cheras Batu 2 1/2, Kampung Periuk dan Kampung Pasir.

Menurut kenyataan itu, di Jalan Cheras Batu 2 1/2 pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat yang telah menyebabkan tebing runtuh di sebuah taska.