DBKL perlu periksa setiap projek pembangunan

Iklan
Lee Lam Thye. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan pemeriksaan di setiap projek pembangunan bagi memastikan tiada saluran longkang ditutup dengan sisa binaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, antara faktor banjir kilat berlaku adalah terlalu banyak tapak pembangunan projek-projek besar seperti Mass Rapid Transit (MRT), projek lebuhraya bertingkat dan bangunan-bangunan besar di tengah ibu kota yang berjalan serentak.

Iklan
Iklan

Beliau mendakwa, tiada perancangan daripada pihak pembina dalam mewujudkan atau mengubahsuai sistem perparitan terlebih dahulu menyebabkan banyak saluran air tersumbat.

"Isu banjir kilat ini bukanlah isu baru kerana sudah berlarutan agak lama. Tetapi belakangan ini, banjir kilat berlaku dengan lebih kerap dan ini merupakan satu panggilan untuk kita semua.

Iklan

"Apa yang saya perhatikan ialah banjir kilat ini bukan lagi terjadi hanya kerana kuantiti hujan yang turun dengan banyak dalam tempoh singkat semata-mata. Alasan ini sahaja tidak mencukupi untuk menjawab segala kerosakan yang melibatkan pelbagai kerugian terutamanya kereta-kereta yang ditenggelami air.

"Banyak sistem saluran air tersumbat atau yang telah ditutup oleh sisa-sisa pembangunan. Apabila tiada aliran, air akan bertakung di jalan utama dan menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, DBKL harus memantau kerja-kerja kontraktor dengan betul dan tidak hanya menyerahkan kepada pembina semata-mata dan akhirnya rakyat yang menderita.

"Pada masa ini, adalah tidak munasabah untuk kita hanya menyalahkan air hujan dan cuaca buruk semata-mata. Alam sekitar tidak boleh disalahkan sebaliknya kitalah yang harus menyalahkan diri sendiri kerana wujudnya pembangunan yang mendatangkan kerosakan dan bencana.

"Kita jugalah yang seharusnya memikir cara untuk mengelak bencana dan menghadapi amarah alam kerana tindakan kita yang mencemar bumi dan merosakkan alam semula jadi,” katanya.