JOHOR BAHRU- Dua calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang berpuas hati dengan proses mengundi awal di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.
Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) Muhammad Saiful Bahari Sahari berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal PRN Johor di IPK Johor.
Katanya, apa yang boleh beliau simpulkan setakat ini, perjalanan proses dilihat cukup teratur tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini meskipun hujan renyai pada awal pagi.
"Setakat ini saya berpuas hati malah proses pengundian awal juga berjalan lancar. Walaupun hujan sekitar jam 8 pagi tadi tetapi ia tidak halang anggota melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Malah jumlah anggota yang keluar mengundi juga semakin meningkat. Saya harap peratusan keluar mengundi yang meningkat ini akan berterusan pada hari pengundian sebenar pada 12 Mac nanti," katanya.
Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) Ang Boon Heng turut hadir ke Dewan Dato Onn IPK Johor bagi meninjau perjalanan proses pengundian awal PRN Johor.
Katanya, walaupun hujan renyai tetapi ia tidak anggota keselamatan khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab mereka.
Beliau turut berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal di IPK Johor.
DUN Stulang menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Andrew Chen Kah Eng (PH) selain Ang Boon Heng (Barisan Nasional), Yap Chiang Youis (Perikatan Nasional), Moharam Baharom (Bebas) dan Muhammad Saiful Bahari Sahari (PBM).
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my