KUALA LUMPUR - Sektor perladangan mengalami kerugian sehingga RM20 bilion tahun lalu berikutan masalah kekurangan tenaga kerja akibat impak pandemik Covid-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sektor yang paling terkesan adalah perladangan kelapa sawit ekoran bergantung kepada tenaga buruh asing.
”Kementerian sedang membuka pendaftaran dan menentukan kuota bagi membawa masuk pekerja asing hujung bulan ini bagi memenuhi keperluan sektor itu.
"(Warga) tempatan tidak tunjuk minat walaupun hampir setahun kita cari dan peluang diberikan, (sehingga kini) masih belum menunjukkan minat dalam sektor ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu ketika menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai visi dan dasar baharu kerajaan berhubung latihan dan pembangunan, Saravanan berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada dua aspek itu dengan mengambil kira perubahan teknologi yang semakin rancak.
Katanya, ia bertujuan untuk mewujudkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi serta kompeten bagi menampung keperluan industri semasa dan masa hadapan.
"Belanjawan 2022 telah memperuntukkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' yang mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion,” jelasnya.