Everton menyerah awal di London

Iklan
Lampard

PENGENDALI Everton, Frank Lampard menyifatkan majoriti para pemain The Toffees mengalah awal ketika berdepan Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi Selasa.

Malah menurut Lampard, para pemain pertahanan The Toffees juga mempamerkan persembahan amat mengecewakan hingga menyaksikan pelawat ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya kita harus faham sebelum saya menyertai Everton masalah prestasi telah pun wujud dan isu semakin jelas setiap hari.

"Tiada apa-apa yang positif mengenai perlawanan berintensiti tinggi malam ini, cuma penyerang muda, Anthony Gordon dan beberapa pemain lain tidak pernah berputus asa sepanjang perlawanan ini.

Iklan

"Sekarang kami perlu berfikir dalam perspektif yang lebih besar, bahawa terdapat 13 perlawanan lagi, lapan daripada perlawanan di laman sendiri dan berdepan pasukan yang bersaing merebut kejuaraan dan mengelakkan penyingkiran," katanya.

The Toffees kian menghampiri zon penyingkiran selepas dibelasah Tottenham Hotspur 5-0 dalam perlawanan liga di London.

Iklan

Kekalahan ke-15 selepas mengharungi 25 perlawanan menyaksikan skuad Lampard mengumpul 22 mata - satu mata mengatasi kelab di zon penyingkiran Burnley yang lebih satu permainan.

Gol sendiri The Toffees, Michael Keane memulakan pesta jaringan anak buah Antonio Conte pada minit ke-14 sebelum Son Heung-min menjadikan kedudukan 2-0 diikuti ledakan minit ke-37' daripada Harry Kane untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Pemain gantian separuh masa, Sergio Reguilon menjadikan kedudukan 4-0 sebelum sepakan voli Kane melengkapkan perjalanan gemilang dengan gol minit ke-55'.

Kemenangan itu menyaksikan Tottenham Hotspur mengumpul 45 mata selepas mengharungi 26 perlawanan untuk menduduki kedudukan ketujuh liga - tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal yang juga seteru setempat kelab London tersebut.

Dua perlawanan Everton seterusnya adalah menentang Wolves dan Newcastle United di tempat sendiri yang merupakan titik tolak kepada misi mempertahankan status elit musim depan kelab Merseyside tersebut.

Cabaran lebih getir menanti Everton apabila pada penghujung kempen, dengan empat daripada lima perlawanan terakhir kelab berpusat di Goodison Park itu menentang Liverpool, Chelsea, Leicester City dan Arsenal.