KUALA TERENGGANU - Struktur Empangan Kenyir di Hulu Terengganu didapati kekal kukuh dan selamat untuk Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) beroperasi semula sebaik infrastruktur penghantaran bekalan elektrik di stesen milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu siap dibaik pulih.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, penilaian terkini mendapati struktur empangan juga kekal utuh dan selamat untuk penduduk sekitar kawasan tersebut menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
Menurutnya, kerja-kerja membersihkan kawasan tanah runtuh yang menghalang laluan darat ke stesen berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan lain agar segala keperluan perkakasan baik pulih dapat dihantar segera.
"Ketika ini, kerja-kerja mitigasi akibat dari runtuhan cerun-cerun di sekitar empangan juga sedang dilaksanakan untuk memastikan struktur empangan kekal kukuh,” katanya selepas memaklumkan hasil pemeriksaan awal dan perkembangan kerja baik pulih SJSM kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Ahmad Samsuri sebagai bantuan banjir kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Baharin berkata, selain hasil pemeriksaan awal, pemeriksaan semua empangan TNB dibuat secara berkala setiap bulan, diaudit integriti strukturnya setiap enam bulan dan diikuti ‘Dam Safety Review’ oleh pihak pakar empangan yang berkecuali setiap lima ke tujuh tahun.
Katanya, ia termasuk struktur berkaitan empangan seperti spillway (alur limpah), intake (alur masuk), empangan pelana dan sebagainya termasuk di Kenyir.
Operasi SJSM ditutup sementara bermula 27 Februari lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi bagi menyalurkan tenaga elektrik yang dijana kepada Grid Nasional, tumbang akibat tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa sejak 25 Februari.
Jelas beliau, walaupun ditutup sementara, air dari empangan masih mengalir ke Sungai Terengganu bagi meneruskan fungsi lainnya sebagai sumber air bersih dan pengairan untuk pertanian.
"Air masih mengalir keluar ke Sungai Terengganu kerana terdapatnya sistem paip untuk pengaliran keluar air dari empangan biar pun tarbin janakuasa tidak beroperasi.
"Paras air di Empangan Kenyir masih berada di bawah tahap pelepasan automatik 145 meter dan jauh lebih rendah daripada paras 153 meter kapasiti maksimumnya.
"Paras air tertinggi pernah direkodkan di empangan setinggi 155 meter itu ialah 148.08 meter iaitu ketika Hulu Terengganu menerima taburan hujan lebat luar biasa pada 2014,” katanya.
Menurut Baharin, TNB akan menjalankan penilaian komprehensif Empangan Kenyir bagi melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk memastikan kestabilan cerun bagi mempercepatkan proses baik pulih, khususnya pembinaan semula menara penghantaran yang tumbang mahu pun membaiki yang rosak.
"Bekalan elektrik kepada pengguna di pantai timur berikutan penutupan sementara SJSM juga tidak akan terjejas kerana bekalan yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional adalah mencukupi.
"Bekalan elektrik yang sebelum ini diputuskan sementara di Terengganu akibat banjir pula telah disambung semula sepenuhnya,” katanya.