Tiada tindakan diambil terhadap pengunjung konsert abai SOP: KKMM

Iklan
Zahidi (kiri) mendengar penerangan dan taklimat ringkas semasa lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebuah hotel di Johor Bahru, pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) tidak akan mengambil tindakan terhadap pengunjung Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, Batu Pahat yang menari beramai-ramai dengan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) serta penjarakan sosial.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan memberi nasihat sahaja dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan berharap insiden itu yang kemudian tular dalam media sosial tidak berulang.

Iklan
Iklan

"Program RIUH EK! ialah program yang kita adakan bagi meningkatkan industri kreatif dalam kalangan rakyat sebagai salah satu pendapatan untuk tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Tetapi program yang baru-baru ini kita lihat mendapat sambutan yang cukup hebat, jadi masalah apabila anak muda terlebih seronok akibat terpendam lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Covid-19.

Iklan

"Ini menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan dan melanggar SOP. Oleh itu, kita nasihatkan supaya perkara ini dapat dikawal dan kalau ada tindakan luar kawalan, itu kita serah pada polis untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebuah hotel, di sini pada Selasa.

Iklan

Video yang tular baru-baru ini menunjukkan aksi sekumpulan anak muda dalam program itu yang berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan sosial dan SOP.

Program anjuran kementerian itu yang diadakan selama tiga hari sehingga Isnin bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.

Program RIUH EK! Keluarga Malaysia itu dijangka akan diteruskan lagi membabitkan 14 siri jelajah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zahidi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, program berkenaan itu bagi memberi hiburan serta meningkatkan industri kreatif seterusnya meningkatkan aktiviti seni dalam negara.

Menurutnya, apabila video tersebut tular terdapat individu mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan mengganggu ketenteraman awam.

"Walaupun kita mendapat ribuan aduan mengenai mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, menghina pemimpin dan sebagainya, kebanyakannya kita hanya berikan nasihat," ujarnya.