SHAH ALAM - Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan mencelah di dalam petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan suaminya, Nagahswaran Muniandy yang merupakan ibu bapa kepada tiga anak mualaf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, di dalam petisyen perceraian, Siew Hong telah diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga kanak-kanak di dalam perkahwinan tersebut.
Menurutnya, memandangkan kanak-kanak tersebut kini telah memeluk Islam dan didaftarkan di Perlis, maka MAIPs bertanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat akses ke atas segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam (mualaf).
"Justeru permohonan mencelah ini difailkan supaya MAIPs mempunyai locus standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal tersebut.
"Ini khususnya bagi membolehkan MAIPs mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan dengan Islam kepada tiga kanak-kanak tersebut, selain memberikan sokongan dalam bentuk kewangan dari dana zakat dan lain-lain bantuan yang dibenarkan syarak.
"Selain itu, ia bagi membolehkan MAIPs memberikan panduan kepada Siew Hong selaku ibu agar dapat membesarkan tiga kanak-kanak mualaf dalam suasana kondusif mengikut syarak,” katanya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal menegaskan bahawa MAIPs tidak mencampuri dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian serta perceraian di antara Siew Hong dengan Muhammad Nagahswaran.
Jelasnya, ini kerana pertikaian dan perceraian itu adalah antara bekas suami isteri tersebut.
"Peranan MAIPs hanya memastikan bahawa kebajikan anak-anak mualaf dan aqidah mereka sentiasa terjaga dan mendapat sokongan serta bantuan yang diperlukan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial.
"Walaupun telah berada dalam jagaan Siew Hong, tiga kanak-kanak ini boleh dilihat tetap menzahirkan iktikad dan keazaman melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam.
"Mereka masih lagi mengamalkan syariatnya, bahkan dalam beberapa laporan media dikatakan menunaikan solat Subuh, dan salah seorang daripadanya apabila ditanya wartawan turut menjawab bercita-cita apabila sudah dewasa kelak, ingin menjadi peguam syarie,” katanya.
Tambah Zainul Rijal, permohonan mencelah itu tidak sama sekali akan menafikan hak Siew Hong sebagai ibu ke atas anak-anaknya, justeru diharapkan tidak ada pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen kebencian yang bersifat keagamaan atau perkauman sempit.
"Bahkan Islam adalah agama rahmah yang menitik-beratkan hubungan anak-anak dengan ibu, tanpa mengira apa sekalipun agama ibu. Permohonan MAIPs tersebut telah difailkan melalui Tetuan Chambers of Zainul Rijal,” katanya.