Pendeposit TH berusia 18 tahun diminta tukar status akaun

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah melebihi umur 18 tahun dan masih memegang Akaun Kanak-Kanak diminta untuk menukar status akaun mereka kepada Akaun Dewasa.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab dalam kenyataan di sini pada Selasa berkata, penukaran status akaun perlu dilakukan sebelum 1 Mei ini memandangkan Akaun Kanak-Kanak hanya boleh ditadbir oleh penjaga bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun.

Iklan
Iklan

"Pengumuman pelanjutan tempoh (yang dibuat) pada bulan November tahun lepas adalah untuk memberi peluang kepada pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dan penjaga untuk melakukan proses penukaran status di cawangan-cawangan TH berdekatan.

"TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun bermula Isnin, 2 Mei 2022. Dalam masa yang sama, status pautan akaun antara akaun penjaga di bank dan Akaun Kanak-Kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan," katanya.

Iklan

Mohamed Ameen berkata, bagi tujuan penukaran status akaun, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan turut disaran untuk hadir bersama anak mereka selain menyarankan semua pendeposit memastikan akaun mereka berstatus aktif.

"Ia untuk (membolehkan mereka) terus menikmati manfaat menyimpan di institusi ini termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, pengecualian cukai pendapatan selain boleh menyertai pelbagai kempen anjuran TH,” katanya.

Iklan

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi TH menerusi www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi khidmat pelanggan melalui talian 03-62071919. - Bernama